SEPTEMBER 2023

Sarawak Berperanan Pertingkat Pengeluaran Minyak Sawit Mentah Kepada Ekonomi Negara


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg hadir menyempurnakan Persidangan Tinjauan Harga Minyak Sawit & Laurik Malaysia Timur (East Malaysia POC) 2023 di Kuching, pada Selasa.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Premier Sarawak berkata Sarawak mempunyai kawasan tanaman kelapa sawit tertinggi di Malaysia yang menyumbang kira-kira 1.6 juta hektar kepada jumlah negara sebanyak 5.7 juta hektar.

Menurutnya, ia menyumbang 29 peratus daripada jumlah kawasan tanaman kelapa sawit negara pada 2022 di mana hampir 100 peratus kawasan ini telah diperakui di bawah ‘Malaysian Sustainable Palm Oil’ (MSPO) yang mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak yang bertanggungjawab dan mampan.

“Pengeluaran Minyak Sawit Mentah Sarawak pada 2022 mencecah empat juta tan metrik yang mencerminkan peningkatan ketara sebanyak 2.5 peratus daripada tahun sebelumnya.

“Menjelang 2023, prospek kekal teguh dengan pengeluaran minyak sawit mentah dari Januari hingga Jun 2023 telah mencecah 1.7 juta tan metrik, ia menunjukkan peningkatan dua peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022,” ujarnya.

Premier Sarawak menambah, pihak yang masih skeptikal mengenai industri kelapa sawit seharusnya mempunyai sedikit perubahan dalam persepsi kelapa sawit dan turut menerima kelapa sawit seperti kelapa kerana fungsi keduanya adalah serupa secara biologi.

Hadir sama di majlis petang tadi adalah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi Dan Pembangunan Wilayah), Martin Ben, Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Timbalan Setiausaha Kanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Severinus Tukah, Pengerusi Bursa Malaysia Derivatif Berhad & Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift, Pengarah Pasaran Derivatif, Mohd Saleem Kader Bakas, Ketua Pengarah, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Pengerusi Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA), Eric Kiu dan Pengurus Besar Wilmar Marketing Sdn Bhd, Chandra Naidu Vengadasalam.

Sumber dari : Sarawakku